Monday 29 November 2021

              

Assalamualaikum w.b.t,
Kami, pelajar Jabatan Perdagangan (Diploma Pemasaran) Semester 2.
Blog ini direka khas bagi menyelesaikan masalah di bawah:

"Masyarakat moden hari ini, ramai yang meninggalkan kedua ibubapa mereka yang telah tua dan uzur di rumah-rumah jagaan orang-orang tua. Anda sebagai anak tidak ingin melakukan perkara sebegini kepada ibu bapa anda. Paparkan kesan perlakuan sebegini kepada kehidupan kita."


Nama Pensyarah: Ustazah Hajjah Khodzirah Binti Ahmad


Nama Ahli Kumpulan:

Nur Zaidatul Aribah Binti Asri @ Mohamad Asri (03DPR20F2003)
Nur Imratul Husna Binti Mohd Tahir (03DPR20F2084)
Fatin Nur Ashifa Binti Mohd Fauzi (03DPR20F2042)
Fatin Syazwani Binti Abu Zaki (03DPR20F2075)


“SEORANG ibu mampu menjaga sepuluh orang anak, tetapi sepuluh orang anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu.” Itu antara ungkapan yang sering kita dengar tatkala timbul isu melibatkan anak-anak mengabaikan tanggungjawab menjaga orang tua mereka.

Sejak kebelakangan ini kita kembali mendengar kisah ibu bapa yang ditinggalkan anak-anak sama ada di rumah orang tua, masjid, hospital mahupun tepi jalan.

Malah melalui berita-berita yang disiarkan di akhbar mahupun media sosial, masalah itu bukan hanya berlaku dalam kalangan ibu sahaja bahkan golongan bapa juga tidak terlepas diabaikan anak-anak.


Mungkin disebabkan kesempitan hidup dan kekurangan pengetahuan mengenai bantuan disediakan pihak berkaitan atau pelbagai lagi alasan menyebabkan mereka mengambil pendekatan untuk tidak lagi menjaga orang tua.
Namun percayalah mengambil tanggungjawab menjaga orang tua terutama ibu bapa merupakan satu tugas yang cukup mulia bukan sahaja dalam kalangan masyarakat bahkan dituntut dalam agama.

Pengalaman penulis menjaga bapa yang terlantar sakit akibat penyakit kencing manis selama dua tahun sangat memberi kesan apabila mendengar isu-isu sebegini masih lagi berlaku dalam masyarakat kita hari ini.

Pengorbanan ibu bapa yang membesarkan kita sedari kecil sehingga mampu menggapai kejayaan dalam kerjaya sukar untuk dibayar dengan wang ringgit, sebaliknya apa yang hanya mereka harapkan adalah kasih sayang daripada anak-anak sehingga ke hujung nyawa.

Sememangnya menjaga orang tua berdepan pelbagai karenah, namun tanpa kita sedari itulah kerenah yang diharungi ibu bapa sewaktu membesarkan dan mendidik kita sedari kecil sehingga dewasa.

Berbalik kepada mengapa perkara sebegini masih berlaku dalam kalangan masyarakat dikatakan berpunca daripada beberapa faktor antaranya adalah disebabkan sikap manusia itu sendiri.

Mungkin segelintir mereka menganggap menjaga ibu bapa yang sudah berusia membebankan selain menyusahkan mereka.

Selain itu, kecacatan, nyanyuk, ketidaksefahaman, kesibukan dan masalah kewangan juga merupakan punca segelintir daripada mereka mengambil keputusan untuk menghantar ibu bapa ke rumah orang tua.Tidak kurang juga yang sanggup membiarkan ibu bapa hidup bersendirian dan hanya melepaskan tanggungjawab kepada belas ihsan jiran tetangga untuk memenuhi keperluan harian.

Seharusnya kita sebagai anak atau ahli keluarga perlu menanamkan nilai kasih sayang terhadap keluarga dan belajar untuk menghargai ibu bapa sendiri walaupun mereka sudah tua dan tidak mampu menguruskan diri sendiri.

Jasa dan pengorbanan yang telah diberikan ibu bapa sehingga kita mampu menikmati kesenangan hari ini perlu sentiasa diingati kerana tanpa mereka berdua, maka tiadalah kita yang bergelar anak-anak di muka bumi ini.


KESAN-KESAN TERHADAP ANAK-ANAK MENGABAIKAN IBUBAPA

1) Kesan terhadap diri sendiri. Hidup tidak akan diberkati oleh Allah s.w.t kerana mengabaikan ibu bapa. Akibatnya, Allah akan menarik nikmat yang telah dikurniakan kepada kita kerana kita mengabaikan ibu bapa. Kita sebagai anak tidak sewajarnya mengabaikan ibu bapa yang telah bersusah-payah membesarkan kita. 

2) Kesan terhadap institusi kekeluargaan di mana akan hilang rasa hormat sesama sendiri. Masing-masing membawa haluan yang memberi kebaikan kepada diri sendiri. Ini dapat kita lihat di dalam sesebuah keluarga yang mana setiap anggotanya sibuk membawa haluan masing-masing dalam mengejar aktiviti dunia. Warga emas di dalam keluarga tersebut akan terpinggir. Keperluannya diabaikan serta keluhan serta rintihannya tidak didengari. Akibatnya akan hilang rasa hormat terhadap mereka.

        3) Kesan terhadap masyarakat. Masyarakat akan memandang warga emas ini sebagai bebanan dan bukan lagi sebagai tanggungjawab. Mereka akan melabel warga emas sebagai warga yang suka berleter dan membebel oleh kerana teguran-teguran mereka yang bersifat memberi peringatan dan nasihat. Akibatnya, segala pendapat dan pandangan mereka tidak diendahkan.

4) Kesan kepada agama. Akan lunturlah sifat berkasih sayang serta kasih mengasihani yang mana amat dititikberatkan oleh agama. Apabila sifat murni agama tidak diendahkan, ini akhirnya akan membawa kepada keruntuhan moral diri individu tersebut. Kesannya akan menjerumuskan seseorang itu kepada aktiviti seperti memukul ibu sendiri yang telah uzur sehingga menemui ajal akibat daripada perasaan panas baran.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, anak-anak tidak wajar  menempatkan ibu bapa mereka di rumah orang-orang tua dan mengabaikan mereka dengan begitu sahaja. Walaupun banyak alasan yang diberikan, namun sebagai masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai murni, anak-anak sememangnya tidak patut membiarkan ibu bapa mereka menghabiskan sisa-sisa kehidupan di rumah orang orang-orang tua. Hargailah ibu bapa kita selain hidup sebagaimana mereka menantang kita bagai minyak yang penuh sejak kita masih bayi lagi. Janganlah kita menjadi anak yang derhaka kepada kedua orang tua demi mengejar kehidupan duniawi yang tidak menjanjikan apa-apa.

               Assalamualaikum w.b.t, Kami, pelajar Jabatan Perdagangan (Diploma Pemasaran) Semester 2. Blog ini direka khas bagi menyelesai...